Sunday 29 June 2014

Oku Nopo Ti Nga Dusun Mantad Talantang Gia


 “USAHA MENELUSURI NENEK MOYANG

Asal Usul Dusun Talantang
MENGKAJI asal usul suatu suku bangsa bukanlah satu pekerjaan yang mudah, ianya memerlukan usaha keras, kerjasama dari semua pihak dan memakan masa yang lama meneliti dokumen atau bahan bukti peninggalan bahkan sampai kepada usaha cari gali.
Apa pun usaha itu, ianya merupakan satu usaha murni yang patut diteruskan khususnya dalam konteks menelusuri nenek moyang dan Sakag Talantang.
Usaha murni ini bukan hanya sekadar membuat kita tahu tentang siapakah saudara mara kita, tetapi juga akan membawa kepada satu tahap pemikiran bahawa Sakag Talantang perlu timbul dipermukaan dunia dan membawa suku ini di tengah-tengah pentas dunia.
Oleh itu, pada masa akan datang dicadangkan supaya kita memikirkan untuk membentuk satu organisasi berdaftar dengan nama “Persatuan Sakag Talantang Malaysia”.

Asal Usul Suku Kaum Dusun
Tidak ada sesiapa pun yang telah membuktikan secara kukuh tentang asal usul orang Dusun, namun terdapat beberapa pengkaji Sains Sosial dan Antropologi yang turut disokong oleh para arkeologidengan mencadangkan beberapa teori tentang asal usul suku kaum Dusun.
Pengkaji Antropologi manusia melaporkan bahawa, bukti pertama kehadiran manusia di Borneo berkait rapat dengan tengkorak manusia yang berusia kira-kira 35,000 tahun dahulu yang ditemui di Guah Niah, Sarawak.
Manusia awal yang ditemui di Gua Niah itu dikenali sebagai Niahian Man dan wajahnya mirip orang dayak yang terdapat di Sarawak pada masa kini.
Berdasarkan penemuan arkeologi ini, terdapat ahli antripologi manusia yang mengandaikan bahawa besar kemungkinan Gua Madai yang terletak di negeri Sabah telah dijadikan tempat perlindungan untuk pemburu awal di rantau ini.

Berhubung / Berkait Rapat Dengan Suku Kaum Dusun Talantang
Bangsa Kadazan Dusun di Nunuk Ragang pada permulaan adalah dari keturunan yang sama namun perkahwinan campur telah menciptakan kepelbagaian sub suku kaum Kadazan Dusun pada waktu itu dan antara sub suku kaum Kadazan Dusun adalah Talantang. Pada waktu  ketua kaum Kadazan Dusun di Nunuk Ragang memerintahkan pahlawan-pahlawannya menggembara untuk mencari tempat baharu di seluruh pelusuk negeri Sabah, pahlawan dari suku kaum Sakag (bangsa) Talantang juga turut serta menggembara.
Menurut lagenda, suku kaum Dusun Talantang dibawah pokok Nunuk Ragang tetapi mereka membina rumah-rumah di bawah sejenis pokok yang diberi nama pokok Talantang dan nama pokok itulah suku kaum ini mendapat nama manakala lokasinya agak jauh dari pokok Nunuk Ragang dan apabila telah menjumpai tempat yang difikirkan sesuai maka mereka kembali dan kemudian membawa suku kaumnya berhijrah dan terpisah. Suku kaum Sakag Talantang pada ketika itu terpisah menjadi dua kumpulan, satu kumpulan orang Talantang berjalan dengan lebih cepat dan meninggalkan kumpulan yang lain.
Kumpulan terdahulu itu tiba di persimpangan Sungai Liwogu dan Sungai Gelibang, kumpulan tersebut kemudiannya menyusuri Sungai Liwogu dan menuju ke pergunungan Trusmadi. Sementara kumpulan yang kedua yang terkemudian telah tersesat arah dan mengikut Sungai Gelibang menuju ke arah Timur iaitu di sebelah Gunung Mantapuk bersebelahan dengan Gunung Sowion dan dari Gunung Sowion ada sebatang sungai yang menuju ke arah Kawiyan iaitu Sungai sowion.
Di Gunung Mantapuk ada sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Tinumbukon. Sungai tersebut bercantum dengan Sungai Sowion dan sungai-sungai ini sangat penting sebagai laluan penghijraan sebab pada ketika itu penempatan awal biasanya ditemui di tepi-tepi sungai. Kumpulan yang telah sampai ke Trusmadi telah membina rumah-rumah di suatu tempat yang mereka fikir sesuai untuk berladang dan mereka tinggal di situ sehingga berpuluhan tahun malah mungkin mencapai ratusan tahun dan mereka ini dikenali sebagai orang Talantang Trusmadi.
Setelah sekian lama, sebahagian daripada mereka berhijrah ke Tambunan dan Keningau. Disana mereka membentuk beberapa buah kampung yang wujud sampai sekarang antaranya Kampung Solibog, Nambayan, Kampung Daar, Pupulutan dan Kampung Kiawayan. Selain daripada itu para penjual daging babi hutan panggang atau dalam bahasa tempatan “Sinalau Bakas” dipersimpangan Rompon juga adalah orang Talantang dari Daerah Ranau iaitu dari Kampung Kodop, Paus, Kampung Rinangkatan, Nimbalai, Tinanom, Pudau dan Kampung Tubau.
Dibahagian Keningau dipercayai orang-orang di Kampung Kitou serta Bunga Raya adalah orang Talantang Trusmadi.
Menurut pengkaji sejarah, Orang Dusun Talantang di Kitou sudah tidak pandai berbahasa Dusun Talantang Malah hampir semua orang Talantang yang berhijrah ke Tambunan dan Keningau sudah tidak tahu berbahasa Dusun Talantang sebaliknya mereka menggunakan bahasa Liawan dan mereka ini juga tidak mengaku sebagai orang Dusun Talantang melainkan mereka mengaku sebagai orang Dusun Liawan.
Kumpulan kedua yang telah tersesat arah akhirnya telah membina rumah-rumah dipergunungan Sowion dan menamakan kampung mereka sebagai Kampung Kawiyan dan disinilah mereka telah berkembang sehingga sekarang 100 peratus penduduk adalah Dusun Talantang dan oleh kerana itu mereka mereka memutuskan untuk menetap disana sehingga mereka mewujudkan Kampung Kilanas, Paka dan Kampung Patau Bungug.
Terdapat pula cerita yang menyatakan bahawa, suatu ketika dahulu pernah ada penempatan orang Dusun Talantang di Nalapak Ranau, tetapi mereka telah meninggalkan tempat itu setelah menikat sumpah dengan orang Nalapak.
Intipati sumpah tersebut adalah, orang Dusun Talantang tidak diizinkan kembali ke Nalapak walau dengan apa tujuan sekali pun. Sebagai tanda sumpah tersebut, orang Dusun Talantang telah menanam tempayan, gong dan harta lain ditepi Sungai Morili di Kampung Nalapak dan mereka kemudiannya menyusuri Sungai Morili dengan menggunakan rakit sehingga jejak kaki mereka tidak dapat dikesan dan diketahui ke mana perjalanan mereka berakhir.

Dusun Talantang dari Kawiyan ke Kota Marudu
Lagenda ini dipercayai bahawa penghijrahan Dusun Talantang Sugud ke Kota Marudu telah berlaku sejak sebelum zaman penjajahan Belanda. Penghijrahan itu terus berlangsung sehinggalah pada zaman penjajahan Jepun dan British malah setelah Sabah merdeka pun penghijrahan masih berlaku.
Namun ada pendapat menyatakan, sekitar tahun 1800 sekumpulan orang Talantang telah meninggalkan Kawiyan Sugud dan mencari tempat baharu iaitu tempat yang sesuai untuk bertani atau berladang.
Tidak dapat dikenal pasti nama semua tempat yang pernah mereka tinggal tetapi menurut cerita yang diwarisi dari nenek moyang mereka bahawa orang Dusun Talantang pernah tinggal di Nasakot Ranau selama beberapa tahun sebelum mereka berpindah lagi ke Togibang. 

Kampung Talantang Di Kota Marudu
Pengenalan Dusun Talantang yang masih kekal di Kota Marudu sehingga kini ialah Kampung Talantang Satu dan Kampung Talantang Dua yang majoritinya dihuni oleh suku kaum Dusun Talantang sendiri.
Setiap tahun, penduduk di Kampung Talantang 1 dan 2 ini akan mengadakan sambutan Pesta Menuai atau lebih dikenali sebagai Pesta Kaamatan yang untuk meraihkan Hari Penuaian Padi disamping mengeratkan hubungan persaudaraan dikalangan penduduk Kampung Talantang itu sendiri. Tidak juga ketinggalan suku kaum yang lain di Kota Marudu untuk menyambut Pesta menuai ini bagi tujuan yang sama di Kampung masing-masing.
Setiap kali sambutan Pesta Menuai ini dirayakan, acara rasmi yang menjadi lambang kepada Pesta Menuai ini ialah Unduk Ngadau atau dalam bahasa Melayunya iaitu Ratu Cantik. Pertandingan ini mewajibkan semua peserta (anak dara yang berusia 15 tahun ke atas)  memperkenalkan diri dalam bahsa Dusun serta memakai pakaian tradisi, mengenakan make-up dan juga menyanggul rambut seperti Gong untuk memperagakan diri dalam pertandingan tersebut.
Aktiviti kedua yang menjadi lambang kepada Pesta Menuai ini ialah Sugandoi atau dalam bahasa Melayunya iaitu Pertandingan Menyanyi. Pertandingan ini juga mewajibkan semua peserta memperkenalkan diri dalam bahasa Dusun, memakai pakaian tradisi dan juga menyanyikan lagu dalam bahasa Dusun sahaja. Perayaan Pesta Menuai tidak akan lengkap tanpa kedua-dua acara rasmi ini.
Manakala Tarian Persembahan yang wajib diadakan dalam Pesta Menuai ini  ialah Tarian Mongiluk yang juga disebut Mangandak sebagai “Tarian Sambut Tetamu” yang diiringi dengan paluan alat muzik tradisional iaitu “Kulintangan”.
Selain itu, aktiviti sampingan yang menjadi penyeri kepada Pesta Menuai ini ialah aktiviti padang seperti tarik tali, bola sepak, lumba karung (lumba lari dalam karung), pertandingan memasak masakan tradisi Kaum Dusun Talantang dan beberapa sukan rakyat yang lain.

ASAL USUL DUSUN TALANTANG                                                                                               Dipetik dari Rencana_Utusan Borneo,                                                                                                 Ditulis semula oleh Elsi Majinah,                                                                                                               (Sukod Wagu Mantad Talantang 2)