“USAHA
MENELUSURI NENEK MOYANG”
Asal Usul
Dusun Talantang
MENGKAJI asal usul suatu suku
bangsa bukanlah satu pekerjaan yang mudah, ianya memerlukan usaha keras,
kerjasama dari semua pihak dan memakan masa yang lama meneliti dokumen atau
bahan bukti peninggalan bahkan sampai kepada usaha cari gali.
Apa pun usaha itu, ianya
merupakan satu usaha murni yang patut diteruskan khususnya dalam konteks
menelusuri nenek moyang dan Sakag Talantang.
Usaha murni ini bukan hanya
sekadar membuat kita tahu tentang siapakah saudara mara kita, tetapi juga akan
membawa kepada satu tahap pemikiran bahawa Sakag Talantang perlu timbul
dipermukaan dunia dan membawa suku ini di tengah-tengah pentas dunia.
Oleh itu, pada masa akan datang
dicadangkan supaya kita memikirkan untuk membentuk satu organisasi berdaftar
dengan nama “Persatuan Sakag Talantang Malaysia”.
Asal Usul
Suku Kaum Dusun
Tidak ada sesiapa pun yang telah
membuktikan secara kukuh tentang asal usul orang Dusun, namun terdapat beberapa
pengkaji Sains Sosial dan Antropologi yang turut disokong oleh para
arkeologidengan mencadangkan beberapa teori tentang asal usul suku kaum Dusun.
Pengkaji Antropologi manusia
melaporkan bahawa, bukti pertama kehadiran manusia di Borneo berkait rapat
dengan tengkorak manusia yang berusia kira-kira 35,000 tahun dahulu yang
ditemui di Guah Niah, Sarawak.
Manusia awal yang ditemui di Gua
Niah itu dikenali sebagai Niahian Man dan wajahnya mirip orang dayak yang
terdapat di Sarawak pada masa kini.
Berdasarkan penemuan arkeologi
ini, terdapat ahli antripologi manusia yang mengandaikan bahawa besar
kemungkinan Gua Madai yang terletak di negeri Sabah telah dijadikan tempat
perlindungan untuk pemburu awal di rantau ini.
Berhubung /
Berkait Rapat Dengan Suku Kaum Dusun Talantang
Bangsa Kadazan Dusun di Nunuk
Ragang pada permulaan adalah dari keturunan yang sama namun perkahwinan campur
telah menciptakan kepelbagaian sub suku kaum Kadazan Dusun pada waktu itu dan
antara sub suku kaum Kadazan Dusun adalah Talantang. Pada waktu ketua kaum Kadazan Dusun di Nunuk Ragang
memerintahkan pahlawan-pahlawannya menggembara untuk mencari tempat baharu di
seluruh pelusuk negeri Sabah, pahlawan dari suku kaum Sakag (bangsa) Talantang
juga turut serta menggembara.
Menurut lagenda, suku kaum Dusun
Talantang dibawah pokok Nunuk Ragang tetapi mereka membina rumah-rumah di bawah
sejenis pokok yang diberi nama pokok Talantang dan nama pokok itulah suku kaum
ini mendapat nama manakala lokasinya agak jauh dari pokok Nunuk Ragang dan
apabila telah menjumpai tempat yang difikirkan sesuai maka mereka kembali dan
kemudian membawa suku kaumnya berhijrah dan terpisah. Suku kaum Sakag Talantang
pada ketika itu terpisah menjadi dua kumpulan, satu kumpulan orang Talantang
berjalan dengan lebih cepat dan meninggalkan kumpulan yang lain.
Kumpulan terdahulu itu tiba di
persimpangan Sungai Liwogu dan Sungai Gelibang, kumpulan tersebut kemudiannya
menyusuri Sungai Liwogu dan menuju ke pergunungan Trusmadi. Sementara kumpulan
yang kedua yang terkemudian telah tersesat arah dan mengikut Sungai Gelibang
menuju ke arah Timur iaitu di sebelah Gunung Mantapuk bersebelahan dengan
Gunung Sowion dan dari Gunung Sowion ada sebatang sungai yang menuju ke arah
Kawiyan iaitu Sungai sowion.
Di Gunung Mantapuk ada sebatang
sungai yang dikenali sebagai Sungai Tinumbukon. Sungai tersebut bercantum
dengan Sungai Sowion dan sungai-sungai ini sangat penting sebagai laluan
penghijraan sebab pada ketika itu penempatan awal biasanya ditemui di tepi-tepi
sungai. Kumpulan yang telah sampai ke Trusmadi telah membina rumah-rumah di
suatu tempat yang mereka fikir sesuai untuk berladang dan mereka tinggal di
situ sehingga berpuluhan tahun malah mungkin mencapai ratusan tahun dan mereka
ini dikenali sebagai orang Talantang Trusmadi.
Setelah sekian lama, sebahagian
daripada mereka berhijrah ke Tambunan dan Keningau. Disana mereka membentuk
beberapa buah kampung yang wujud sampai sekarang antaranya Kampung Solibog,
Nambayan, Kampung Daar, Pupulutan dan Kampung Kiawayan. Selain daripada itu
para penjual daging babi hutan panggang atau dalam bahasa tempatan “Sinalau
Bakas” dipersimpangan Rompon juga adalah orang Talantang dari Daerah Ranau
iaitu dari Kampung Kodop, Paus, Kampung Rinangkatan, Nimbalai, Tinanom, Pudau
dan Kampung Tubau.
Dibahagian Keningau dipercayai
orang-orang di Kampung Kitou serta Bunga Raya adalah orang Talantang Trusmadi.
Menurut pengkaji sejarah, Orang
Dusun Talantang di Kitou sudah tidak pandai berbahasa Dusun Talantang Malah
hampir semua orang Talantang yang berhijrah ke Tambunan dan Keningau sudah
tidak tahu berbahasa Dusun Talantang sebaliknya mereka menggunakan bahasa
Liawan dan mereka ini juga tidak mengaku sebagai orang Dusun Talantang
melainkan mereka mengaku sebagai orang Dusun Liawan.
Kumpulan kedua yang telah
tersesat arah akhirnya telah membina rumah-rumah dipergunungan Sowion dan
menamakan kampung mereka sebagai Kampung Kawiyan dan disinilah mereka telah
berkembang sehingga sekarang 100 peratus penduduk adalah Dusun Talantang dan
oleh kerana itu mereka mereka memutuskan untuk menetap disana sehingga mereka
mewujudkan Kampung Kilanas, Paka dan Kampung Patau Bungug.
Terdapat pula cerita yang
menyatakan bahawa, suatu ketika dahulu pernah ada penempatan orang Dusun
Talantang di Nalapak Ranau, tetapi mereka telah meninggalkan tempat itu setelah
menikat sumpah dengan orang Nalapak.
Intipati sumpah tersebut adalah,
orang Dusun Talantang tidak diizinkan kembali ke Nalapak walau dengan apa
tujuan sekali pun. Sebagai tanda sumpah tersebut, orang Dusun Talantang telah
menanam tempayan, gong dan harta lain ditepi Sungai Morili di Kampung Nalapak
dan mereka kemudiannya menyusuri Sungai Morili dengan menggunakan rakit
sehingga jejak kaki mereka tidak dapat dikesan dan diketahui ke mana perjalanan
mereka berakhir.
Dusun Talantang dari Kawiyan ke Kota Marudu
Lagenda ini dipercayai bahawa
penghijrahan Dusun Talantang Sugud ke Kota Marudu telah berlaku sejak sebelum
zaman penjajahan Belanda. Penghijrahan itu terus berlangsung sehinggalah pada
zaman penjajahan Jepun dan British malah setelah Sabah merdeka pun penghijrahan
masih berlaku.
Namun ada pendapat menyatakan,
sekitar tahun 1800 sekumpulan orang Talantang telah meninggalkan Kawiyan Sugud
dan mencari tempat baharu iaitu tempat yang sesuai untuk bertani atau
berladang.
Tidak dapat dikenal pasti nama
semua tempat yang pernah mereka tinggal tetapi menurut cerita yang diwarisi
dari nenek moyang mereka bahawa orang Dusun Talantang pernah tinggal di Nasakot
Ranau selama beberapa tahun sebelum mereka berpindah lagi ke Togibang.
Kampung
Talantang Di Kota Marudu
Pengenalan Dusun Talantang yang
masih kekal di Kota Marudu sehingga kini ialah Kampung Talantang Satu dan
Kampung Talantang Dua yang majoritinya dihuni oleh suku kaum Dusun Talantang
sendiri.
Setiap tahun, penduduk di Kampung
Talantang 1 dan 2 ini akan mengadakan sambutan Pesta Menuai atau lebih dikenali
sebagai Pesta Kaamatan yang untuk meraihkan Hari Penuaian Padi disamping
mengeratkan hubungan persaudaraan dikalangan penduduk Kampung Talantang itu
sendiri. Tidak juga ketinggalan suku kaum yang lain di Kota Marudu untuk
menyambut Pesta menuai ini bagi tujuan yang sama di Kampung masing-masing.
Setiap kali sambutan Pesta Menuai
ini dirayakan, acara rasmi yang menjadi lambang kepada Pesta Menuai ini ialah Unduk
Ngadau atau dalam bahasa Melayunya iaitu Ratu Cantik. Pertandingan ini
mewajibkan semua peserta (anak dara yang berusia 15 tahun ke atas) memperkenalkan diri dalam bahsa Dusun serta
memakai pakaian tradisi, mengenakan make-up dan juga menyanggul rambut seperti
Gong untuk memperagakan diri dalam pertandingan tersebut.
Aktiviti kedua yang menjadi
lambang kepada Pesta Menuai ini ialah Sugandoi atau dalam bahasa Melayunya
iaitu Pertandingan Menyanyi. Pertandingan ini juga mewajibkan semua peserta
memperkenalkan diri dalam bahasa Dusun, memakai pakaian tradisi dan juga
menyanyikan lagu dalam bahasa Dusun sahaja. Perayaan Pesta Menuai tidak akan
lengkap tanpa kedua-dua acara rasmi ini.
Manakala Tarian Persembahan yang
wajib diadakan dalam Pesta Menuai ini
ialah Tarian Mongiluk yang juga disebut Mangandak sebagai “Tarian Sambut
Tetamu” yang diiringi dengan paluan alat muzik tradisional iaitu “Kulintangan”.
Selain itu, aktiviti sampingan
yang menjadi penyeri kepada Pesta Menuai ini ialah aktiviti padang seperti
tarik tali, bola sepak, lumba karung (lumba lari dalam karung), pertandingan
memasak masakan tradisi Kaum Dusun Talantang dan beberapa sukan rakyat yang
lain.
ASAL USUL DUSUN TALANTANG Dipetik dari Rencana_Utusan Borneo, Ditulis semula oleh Elsi Majinah, (Sukod Wagu Mantad Talantang 2)